PETALING JAYA: Bersatu akan mendapat manfaat dengan membenarkan pertandingan terbuka untuk lima jawatan tertinggi parti, yang kini terhad kepada ahli majlis pimpinan tertinggi dua penggal, kata penganalisis politik.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata Bersatu akan membangunkan kumpulan bakat yang lebih luas untuk mengukuhkan parti jika tokohnya seperti Ketua Penerangan Azmin Ali dan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin bersaing untuk jawatan tertinggi.
“Dengan adanya Azmin, mengambil kira peranannya dalam kejayaan Bersatu di Selangor, mungkin akan memberi manfaat kepada parti,” katanya kepada FMT.
Azmin, selaku ketua Perikatan Nasional (PN) Selangor, mengetuai gabungan itu untuk membuat kemajuan besar pada PRN tahun lepas di Selangor, memperoleh 22 kerusi, semuanya dalam kawasan majoriti Melayu, meningkat daripada lima kerusi sebelum ini.
Syaza berkata Azmin akan menjadi tambahan hebat kepada kepimpinan parti memandangkan pengalamannya sebagai bekas menteri hal ehwal ekonomi dan menteri besar Selangor.
“Beliau juga cukup disenangi rakyat, seperti yang ditunjukkan oleh kemampuannya memenangi kerusi sukar seperti Hulu Kelang.”
Azmin menewaskan Juwairiya Zulkifli dari Pakatan Harapan (PH) dengan 1,617 undi di kerusi Hulu Kelang pada pilihan raya Parlimen pada November 2022. Kerusi itu, dengan pengundi majoriti Melayu, telah disandang PH selama dua penggal berturut-turut.
Syaza menambah bahawa mempunyai pemimpin baharu yang mempunyai kelayakan lebih kukuh untuk mengisi jawatan tertinggi parti boleh membantu Bersatu mendapatkan kedudukan lebih setara dalam PN.
Pada Rabu, ahli akar umbi Bersatu meminta kelonggaran dalam pencalonan untuk lima jawatan tertinggi parti. Mereka melahirkan kebimbangan mengenai masa depan parti itu selepas prestasi buruknya dalam beberapa PRN dan kekalahannya baru-baru ini dalam PRK Kuala Kubu Baharu.
Perlembagaan Bersatu menyatakan bahawa hanya ahli yang pernah menjadi ahli majlis pimpinan tertinggi atau ketua bahagian selama dua penggal penuh layak bertanding jawatan lima tertinggi.
Azmin menyertai Bersatu pada Ogos 2020 dan dipilih menganggotai majlis tertinggi pada bulan berikutnya, manakala Hamzah menyertai Bersatu pada 2019 dan dilantik sebagai setiausaha agung pada 2020. Kedua-duanya pada masa ini tidak layak untuk bertanding jawatan lima tertinggi.
Penganalisis politik James Chin dari University of Tasmania berkata gesaan ahli akar umbi menunjukkan ahli mahukan tokoh yang lebih kuat seperti Hamzah dan Azmin untuk menerajui parti.
“Jelas sekali akar umbi Bersatu tidak berpuas hati dengan kepimpinan sekarang,” katanya.
Chin berkata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang mengubah pendirian selepas menawarkan untuk meletakkan jawatan telah ‘meninggalkan rasa kurang senang kepada ahli’.
Muhyiddin mengumumkan pada kongres parti tahun lepas mengumumkan akan meletak jawatan, namun menarik balik kenyataan itu sehari kemudian sambil berkata beliau berubah fikiran selepas berbincang dengan isterinya.
Chin berkata ahli akar umbi mahu Bersatu melakukan peranan yang lebih kerana melihat kedudukan parti itu hanya sebagai sokongan kepada PAS dalam gabungan PN.
“Akar umbi mahu pucuk pimpinan naik kerana musuh nombor satu Bersatu sebenarnya Umno. Jika Umno semakin mendapat tempat, Bersatu yang kalah, bukan PAS,” katanya.
Source link