KUALA TERENGGANU: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan di sini dua tahun lepas.
Tertuduh Norazia Abdul Rahman membuat pengakuan berkenaan selepas tuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nazlyza Mohd Nazri.
Wanita berusia 41 tahun itu dituduh menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dengan menjalankan perkhidmatan pemasangan veneer di bilik sebuah hotel di Jalan Sultan Zainal Abidin pada 5.55 petang, 20 Ogos 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum bawah Seksyen 5(1)(a) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM300,000 atau dipenjara maksimum enam tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Nozaizeli Abu Samah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.