‘Black Friday’ reaksi biasa kalah kes, kata Takiyuddin

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dikritik selepas berkata keputusan Mahkamah Persekutuan ibarat sejarah hitam buat umat Islam dan negara.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata kenyataan “Black Friday” dibuatnya selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 peruntukan dalam enakmen jenayah syariah Kelantan terbatal adalah reaksi biasa sebagai peguam yang kalah sesuatu kes mahkamah.

“Bila saya kalah kes, saya kata ‘ini Isnin yang hitam’ atau ‘Selasa yang hitam’. Ia hari yang hitam untuk anak guam saya,” katanya dipetik Malaysiakini ketika sesi dialog antara pemimpin PAS dengan media berbahasa Cina di Kuala Lumpur.

Beliau membuat kenyataan kontroversi itu selepas Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb lalu membatalkan 16 peruntukan dalam enakmen jenayah syariah Kelantan dengan alasan bertentangan Perlembagaan.

Takiyuddin dikritik selepas berkata keputusan itu ibarat “Jumaat yang hitam” kepada undang-undang syariah Islam dan sejarah hitam buat umat Islam dan negara.

Dalam sesi dialog hari ini, Takiyuddin dipetik sebagai berkata “Itu (hari yang) hitam untuk kami…kerana undang-undang kami di Kelantan diisytihar tidak sah dan tidak berperlembagaan”.

“Jadi apa yang saya boleh kata lagi? Jika saya kata ‘nothing la, nothing la’, itu bukan (respons) orang yang (berfikiran) munasabah,” katanya.

Khamis lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menegur kenyataan mengelirukan termasuk gelaran “Black Friday” oleh pemimpin tertentu terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Tanpa menamakan sesiapa, Sultan Sharafuddin bertitah pelbagai pihak terutama ahli politik, pengamal undang-undang, akademik dan rakyat biasa membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes berkenaan.

“Namun demikian ada juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini,” titah baginda.

Source link

Black FridayKelantanmahkamahpassyariahTakiyuddin Hassanundang-undang
Comments (0)
Add Comment