Lee Zii Jia hanya mengambil 26 minit untuk menyumbang mata pertama negara. (Gambar Bernama)
CHENGDU: Seperti dijangkakan, Malaysia menempah slot ke suku akhir Piala Thomas 2024 selepas menundukkan Algeria 5-0 dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan D di Gimnasium Pusat Sukan Hi-Tech di sini.
Bagi perlawanan hari ini, kem negara melakukan beberapa perubahan, termasuk menurunkan pemain perseorangan profesional, Cheam June Wei dan gandingan meningkat, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri menentang pasukan kerdil dari benua Afrika itu.
Perseorangan kedua, Leong Jun Hao serta dua beregu – Aaron Chia dan Goh Szei Fei – direhatkan, manakala ketua pasukan Soh Wooi Yik berganding dengan Nur Izzuddin Rumsani selaku beregu kedua.
Percaturan pemain itu tidak mengundang sebarang masalah dengan kemenangan mudah.
Pemain perseorangan utama, Lee Zii Jia hanya memerlukan 26 minit untuk memperoleh mata pertama negara, selepas menewaskan Adel Hamek 21-8, 21-6 sebelum perseorangan kedua, June Wei juga mudah mengatasi Youcef Sabri Medel 21-9, 21-14 dalam masa 21 minit.
Zii Jia berkata, aksi itu dianggap pemanas badan menjelang pertemuan terakhir kumpulan menentang juara 2016 Denmark pada Rabu ini untuk menentukan juara kumpulan.
“Memandangkan esok hari rehat, saya minta diturunkan dalam perlawanan hari ini supaya ia boleh dijadikan persediaan ketika berdepan Denmark,” katanya selepas perlawanan itu.
Momentum skuad negara diteruskan apabila Hon Jian-Haikal hanya mengambil 17 minit untuk menyumbang mata ketiga negara dengan menyingkirkan gandingan Sifeddine Larbaoui-Mohamed Abdelaziz Ouchfoun 21-8, 21-3.
Perseorangan ketiga negara, Justin Hoh menghadiahkan mata keempat selepas menewaskan Mohamed Abderrahim Belarbi, 21-10, 21-14, manakala Izzuddin-Wooi Yik memuktamadkan kemenangan 5-0 dengan mengatasi Koceila Mammeri-Youcef Sabri 21-13, 21-9 dalam tempoh 25 minit.
Wooi Yik berkata, beliau gembira memimpin pasukan negara ke pusingan lapan terakhir, manakala Izzuddin seronok kembali berganding dengan Wooi Yik selepas kali terakhir pada edisi 2020.
Semalam, Malaysia membuka tirai saingan kumpulan dengan kemenangan 5-0 ke atas Hong Kong, manakala Denmark mengatasi Algeria dengan keputusan sama.
Hari ini Denmark menewaskan Hong Kong 5-0.
Source link