Kuala Lumpur – Filem aksi epik terbitan Skop Productions, “Blood Brothers: Bara Naga” telah mencatatkan sejarah tersendiri apabila berjaya mengutip hasil sebanyak RM9.2 juta hanya dalam tempoh dua hari tayangan, termasuk tayangan awal yang bermula pada 8 April lalu.
Karya gandingan hebat pengarah Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra ini telah menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat filem tempatan, sekali gus membuktikan bahawa produksi tempatan mampu menarik perhatian penonton Malaysia dengan kualiti yang tidak kurang hebatnya berbanding filem antarabangsa.
Filem ini kini ditayangkan di 170 pawagam seluruh negara, menjadikannya antara filem Malaysia dengan capaian tayangan paling meluas setakat ini. Sambutan paling luar biasa dicatatkan di beberapa negeri termasuk Selangor, Johor, Kedah, Pahang dan Terengganu.
Kejayaan mengumpul RM9.2 juta dalam masa hanya 48 jam ini dilihat sebagai pencapaian besar bagi industri perfileman tempatan, terutamanya bagi filem berunsur aksi dan bertemakan nilai persaudaraan.
“Blood Brothers: Bara Naga” terus menjadi topik perbualan di platform media sosial dengan pelbagai ulasan positif dari penonton dan pengkritik filem. Pengulas filem dari Hadam Project menilai karya ini sebagai “filem aksi tempatan yang paling mengagumkan dari segi visual pernah dihasilkan.”
Sementara itu, pengulas filem terkenal Abang Riak mengatakan, “Tidak keterlaluan jika saya katakan ini adalah karya terbaik Syafiq Yusof setakat ini. Dari segi aksi, skrip, tempo hinggalah ke aspek teknikal dan visual, semuanya memang sempurna.”
Filem yang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, dan Wan Hanafi Su ini turut mendapat pujian daripada pelakon Fikry Ibrahim yang memuji lakonan para pelakon sebagai “sangat smooth dan seimbang” dengan setiap watak dihidupkan dengan begitu natural.
“Blood Brothers: Bara Naga” mengisahkan tentang Ariff (Syafiq Kyle) yang direkrut oleh Ghaz (Sharnaaz Ahmad) untuk berkhidmat di bawah naungan Dato Zul (Wan Hanafi Su), seorang ketua Mafia Naga. Kisah penuh aksi dan emosi ini menjanjikan pengalaman sinematik yang tidak akan dilupakan penonton.
Dengan pencapaian kutipan RM9.2 juta dalam masa begitu singkat, “Blood Brothers: Bara Naga” telah meletakkan penanda aras baharu untuk filem aksi tempatan dan membuktikan bahawa penonton Malaysia masih menyokong karya tempatan yang berkualiti tinggi.
Filem ini kini masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena sinema Malaysia yang sedang membuat gelombang di industri perfileman tanah air!