DUN Pulau Pinang meluluskan usul pelantikan enam ahli lembaga rayuan, dengan peguam kanan Baldev Singh Gurchan Singh sebagai pengerusinya Khamis lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Bapa mentua Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo menolak pelantikan mengetuai lembaga rayuan yang ditubuhkan di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat 2010 negeri susulan dakwaan nepotisme.
“Saya telah tolak jawatan itu,” kata Baldev Singh Gurchan Singh secara ringkas ketika dihubungi FMT.
Semalam, Setiausaha Agung Urimai, Satees Muniandy menggesa Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menjelaskan pelantikan bapa mentua timbalannya sebagai pengerusi sebuah lembaga rayuan.
Bekas Adun Bagan Dalam itu dilaporkan meminta Chow menjelaskan sebab khusus Baldev dipilih mengetuai lembaga rayuan berkenaan.
“Adakah tiada lagi calon yang sesuai di Pulau Pinang, selain ahli keluarga timbalan ketua menteri untuk dilantik sebagai pengerusi lembaga rayuan itu? Bukankah ini amalan nepotisme?” katanya dalam kenyataan semalam.
Khamis lalu, Dewan Undangan Negeri dilapor meluluskan usul melantik enam ahli lembaga itu, dengan Baldev sebagai pengerusinya.
Bekas presiden Majlis Peguam Abdul Fareed Abdul Gafoor dilantik sebagai timbalan. Ahli lain ialah Harinder Singh Malkit Singh, Carolyn Oh, Nagarethinam Rengasamy Pillay dan Regina Amalorpava Mary Aboorvasamy.
Usul itu yang dikemukakan Jagdeep diluluskan sebulat suara.
Satees berkata, meskipun Baldev mungkin peguam berpengalaman, keputusan melantiknya apabila Jagdeep sedang berkhidmat menunjukkan “betapa hipokritnya” pentadbiran DAP dalam mengamalkan prinsip kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan.
Lembaga rayuan itu akan meneliti rayuan oleh pihak yang permintaannya untuk mendapatkan maklumat ditolak mana-mana jabatan berkaitan negeri.
Source link