Putrajaya – Penyanyi bersuara power, Ara Johari, tampil dengan kejutan istimewa buat peminat muzik tanah air apabila melancarkan single Aidilfitri terbarunya bertajuk “Zapin Malam Raya” pada hari Sabtu lalu.
Berbeza daripada imej rock yang sering dikaitkan dengan penyanyi ini, kali ini Ara berani membawa pendekatan baru dengan mengangkat elemen zapin Melayu dalam lagu ciptaan Affan Mazlan dan Syafiq Al Gambus.
Lebih menarik, “Zapin Malam Raya” turut menampilkan kumpulan pelawak popular dari Pantai Timur, Trio Latah sebagai penyanyi undangan yang pastinya menambah kelainan dan keceriaan dalam karya ini.
“Sebenarnya, Ara ada rancangan keluar lagu raya tahun ini tapi tak jumpa demo yang sesuai. Dalam pada sedang mencari-cari tu Ara jumpa Affan minggu lepas. Alhamdulillah, hasil perbincangan singkat itu terhasil lagu ini,” ujar penyanyi berbakat ini..
Apa yang menjadikan single ini lebih istimewa adalah penggunaan dialek Negeri Sembilan dan Kelantan dalam liriknya. Lagu ini mengisahkan keterujaan seorang suami yang tidak sabar untuk pulang beraya ke kampung.
“Ini kali pertama saya bawa lagu genre irama Malaysia. Mungkin kedengaran sedikit berlainan dengan suara Ara yang biasa dengan lagu rock,” jelasnya.
Penyanyi yang bergambar bersama kolaboratornya itu juga memberitahu bahawa muzik video lagu “Zapin Malam Raya” sedang dalam proses penggambaran dan dijangka akan boleh ditonton oleh peminat muzik pada minggu hadapan.
Diedarkan oleh Universal Music Malaysia, “Zapin Malam Raya” akan mula boleh didengari di semua platform digital bermula 19 Mac 2025. Untuk peminat yang ingin menikmati kelainan Ara Johari dalam membawakan genre tradisional, inilah peluang terbaik untuk anda mendengar sisi lain bakat penyanyi yang dikenali dengan lagu-lagu berentak rock ini.