Amanah Johor harap tubuh kerajaan perpaduan jika BN menang Mahkota

Ketua Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata terpulang kepada BN sama ada mahu bentuk kerajaan perpaduan di Johor. (Gambar Bernama)

KLUANG: Ketua Amanah Johor, Aminolhuda Hassan mencadangkan kerajaan negeri membentuk kerajaan perpaduan jika calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah memenangi PRK Mahkota.

“Kita meminta, bergantung pada yang nak memberi. Terpulang pada dia, ‘baton’ pada dia sekarang.

“Lebih baik bersama daripada berpisah… Kita dah tunjuk kerjasama yang baik,” katanya kepada FMT ketika ditanya sama ada Amanah akan meminta kerajaan perpaduan ditubuhkan di Johor jika BN menang PRK Mahkota.

Kerajaan Johor dibentuk BN, yang mempunyai 39 kerusi DUN, dengan sokongan 12 kerusi Pakatan Harapan. Tetapi, dua gabungan itu tidak membentuk pakatan seperti di peringkat kerajaan persekutuan.

Komen Aminolhuda juga didorong cabaran sama oleh Pengarah Perikatan Nasional (PN) bagi PRK Mahkota, Azmin Ali supaya Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi membentuk kerajaan perpaduan jika BN menang di Mahkota.

Namun, Onn Hafiz yang juga pengerusi BN Johor, berkata orang luar seperti Azmin tiada hak mengulas tadbir urus negeri kerana mereka tidak mempunyai kefahaman sebenar mengenai isu itu.

Ketua Umno Johor itu berkata, Azmin yang juga ketua PN Selangor tidak bertanggungjawab dalam membuat kenyataan memecahbelahkan itu.

“Apa yang orang luar seperti Azmin tahu tentang Johor? Dia hanya di sini untuk membantu kempen PRK,” kata Onn Hafiz.

Sementara itu, Aminolhuda menafikan Amanah memboikot PRK Mahkota.

“Jika itu berlaku, kami tidak akan turun padang membantu kempen calon,” katanya.

Amanah Kluang sebelum ini melobi untuk bertanding PRK Mahkota, dengan Exco Pemudanya, Fadhli Umar Aminolhuda bertekad mendesak parti meletakkan calon kerana kerajaan Johor bukan kerajaan perpaduan.

Desakan Amanah dikritik beberapa pemimpin Umno, dengan Presiden Zahid Hamidi memberi amaran kepada parti lain dalam gabungan kerajaan perpaduan agar tidak menuntut bertanding di kerusi itu.

PN akan diwakili Haizan Jaafar pada PRK Mahkota 28 Sept ini. Pengundian awal ditetapkan pada 24 Sept.

Source link

amanahjohorkerajaan perpaduanPRK Mahkota
Comments (0)
Add Comment