KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light sesat dan menyeleweng serta bercanggah ajaran Islam dan hukum syarak.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI Nooh Gadot, berkata keputusan berkenaan adalah susulan persidangan jawatankuasa itu pada 26 hingga 28 Jun lalu.
“Mana-mana individu atau kumpulan orang yang mengamal dan menyebar fahaman, ajaran, dan pegangan seumpama ini adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.
“Orang Islam hendaklah menjauhi fahaman dan ajaran ini serta dilarang berpegang dan beramal dengannya. Mana-mana orang Islam yang telah mengikut dan mengamalkan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT,” katanya menerusi kenyataan.
Susulan keputusan itu, Nooh berkata sebarang publisiti, pengajaran, penulisan, penyiaran, dan penerbitan bahan bercetak, audio visual atau apa-apa berkaitan ajaran itu tidak dibenarkan dan hendaklah disekat.
Nooh berkata, antara kepercayaan dan ajaran The Ahmadi yang bercanggah dengan agama Islam adalah pengikutnya mempercayai Muhammad bin al-Hassan al-Askari (Imam syiah yang ke-12) sebagai Imam al-Mahdi dan beliau kini dikatakan sedang bersembunyi dan akan muncul pada akhir zaman.
Selain itu, pengikut ajaran berkenaan juga percaya Ahmad al-Hasan yang digelar al-Yamani berperanan sebagai utusan kepada Imam al-Mahdi yang akan membawa syariat baharu dan terakhir yang menyempurnakan ajaran serta syariat para nabi terdahulu.