Ahli Parlimen kerajaan terima peruntukan hingga RM2.2 juta sejak 2023, kata menteri

Menerusi peruntukan khas perdana menteri itu setiap Ahli Parlimen kerajaan di Semenanjung menerima RM1.7 juta manakala Ahli Parlimen kerajaan di Sabah dan Sarawak menerima RM2.2 juta. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Ahli Parlimen kerajaan menerima peruntukan hingga RM2.2 juta seorang dari 2023 hingga 2024, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa.
Zaliha berkata peruntukan khas perdana menteri itu hanyalah sebagai penambah dan pelengkap kepada peruntukan di bawah Rancangan Malaysia lima tahun serta tertakluk kepada kemampuan semasa kewangan kerajaan.
“Bagi 2023 dan 2024, jumlah peruntukan yang diterima setiap Ahli Parlimen kerajaan adalah RM1.7 juta bagi kawasan parlimen di Semenanjung dan RM2.2 juta bagi kawasan parlimen Sabah dan Sarawak,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) di Dewan Rakyat.
Zaliha juga berkata penyediaan dan penyaluran peruntukan ini adalah mengikut dasar sedia ada dan tertakluk kepada kemampuan semasa kewangan kerajaan
“Peruntukan ini bukanlah satu-satunya yang tersedia bagi tujuan pembangunan kawasan parlimen sebaliknya terdapat peruntukan lain turut di sedia pelbagai kementerian dan badan berkanun seperti Lembaga Kemajuan Wilayah.
“Sekiranya dijumlahkan, peruntukan tersebut melebihi peruntukan khas perdana menteri untuk kawasan Parlimen,” katanya.
Salamiah juga bertanya mengenai peruntukan pengurusan dan pejabat bagi setiap Ahli Parlimen pembangkang tetapi Zaliha tidak memberikan sebarang maklumat.

Source link

dewan rakyatkerajaanperdana menteriperuntukan ahli parlimenperuntukan khasZaliha Mustafa
Comments (0)
Add Comment