PETALING JAYA: Seramai 88 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng termasuk 8 kenderaan darat menerusi 82 sekatan di seluruh negara semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam sekatan itu juga agensi penguatkuasa menahan 4 tekong dan seorang penyeludup.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, mengenai kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) beliau berkata, seramai 101 individu ditahan dengan 86 daripanya dikompaun manakala 15 individu lagi direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka (26), ingkar perintah PKPD (24), penjarakan fizikal (19), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (13), tangkapan pendatang asing tanpa izin (10), aktiviti dalam pub atau kelab malam (6), dan premis beroperasi lebih masa (3),” katanya.