PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu menepis tanggapan ada parti menjadi ‘abang besar’ dalam Perikatan Nasional (PN), menegaskan semua komponen saling memerlukan untuk mencapai kemenangan besar.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Wan Saiful Wan Jan, berkata Bersatu dan PAS saling melengkapi satu sama lain yang menyaksikannya mencatat kemenangan besar pada PRU15 dan PRN di enam negeri.
Katanya, tidak logik membandingkan Bersatu yang baru berusia lapan tahun dengan pengalaman PAS, dibuat pihak tertentu seolah-olah untuk menentukan siapa ‘abang besar’ dalam PN yang ditubuhkan pada 2020.
“Peranan kita saling melengkapi antara satu sama lain, sekiranya tak wujud gabungan kita tak berada pada kedudukan sekarang…saya rasa mungkin Kelantan dan Terengganu kekal dengan PAS tetapi majoriti wakil rakyat mungkin jauh lebih rendah.
“Jadi bila ada orang kata ada abang besar (dalam PN), saya tak nampak itu,” katanya dalam temu bual FMT.
Julukan ‘abang besar’ sebelum ini dibangkitkan oleh pemerhati politik merujuk kepada kekuatan PAS dengan 43 kerusi Parlimen berbanding 31 dimenangi Bersatu pada PRU15, kemudian hilang lagi enam kerusi selepas enam wakil rakyatnya menyokong Anwar Ibrahim.
Tahun lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menafikan ada parti menjadi abang besar dalam komponen itu susulan PAS diberi lebih banyak kerusi bertanding pada PRN enam negeri tahun lalu menyaksikannya menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Isu itu kembali diperkatakan selepas ada ahli Bersatu kecewa dengan pemilihan ahli PAS Mohd Rizwadi Ismail sebagai calon PN bagi PRK Nenggiri. Beliau menyertai Bersatu untuk bertanding kerusi tradisi parti tersebut.
Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata tiada masalah untuk mendengar perbezaan pendapat mengenai status ‘negeri Bersatu’ atau ‘negeri PAS’, yang sering dibangkitkan pimpinan serta ahli PN.

“Memang ada persefahaman tetapi ia bukan kitab atau sifir mutlak, tetapi bergantung juga kepada perbincangan tetapi kalau macam Kelantan dan Terengganu apa lagi hendak dibincangkan (negeri PAS) termasuk Selangor bawah Bersatu.
“Tetapi kalau ada yang komen kata contohlah PAS kena pimpin Selangor dan Pahang, kita patut raikan sebab ada juga di Kedah, Perlis dan Perak (kini bawah PAS) kata Bersatu mesti memimpin,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, semua tuntutan boleh dibawa ke meja rundingan untuk mencapai keputusan yang boleh diterima baik semua pihak.
“Kalau bercakap (menyuarakan pandangan) itu bagus. Kalau tak bercakap maksudnya seolah-olah tiada cita-cita langsung hendak mentadbir, kalau begitu baik tiada parti politik,” katanya.