LOS ANGELES: Dianggarkan lebih 60,000 gelandangan berisiko dijangkiti koronavirus di California dalam masa 8 minggu akan datang berikutan kegagalan sistem penjagaan kesihatan, kata gabenor negeri itu, semalam.
Kadar kemasukan pesakit yang dijangkiti selesema ke wad meningkat kira-kira 20%, mewujudkan keperluan menambah katil hospital jika ramalan itu menjadi kenyataan, kata gabenor Gavin Newsom.
“Dalam tempoh 8 minggu, kita menjangkakan 108,000 gelandangan di California. Jika kadar jangkitan sebanyak 56%, kita akan saksikan 60,000 individu dijangkiti Covid-19,” kata ahli parti Democrat itu di Facebook.
“Ini mencetuskan kebimbangan penduduk lebih-lebih lagi ia membabitkan sistem penyampaian penjagaan kesihatan, keupayaan untuk memindahkan gelandangan dari tempat perlindungan dengan selamat tanpa berhubung dengan orang lain dan meletakkan mereka dalam risiko dijangkiti virus itu.”
California, negeri paling ramai penduduk di AS, antara yang paling sedikit dilanda wabak koronavirus, dengan 598 kes yang disahkan pada Rabu, peningkatan sebanyak 21% berbanding hari sebelumnya. Sekurang-kurangnya 17 kematian dilaporkan di California.
Newsom berkata, beliau mengeluarkan perintah eksekutif yang membenarkan pengagihan dana sebanyak AS$100 juta kepada daerah di seluruh California bagi mengekang penularan penyakit berkaitan pernafasan itu dalam kalangan gelandangan, dan memperoleh 1,300 treler untuk digunakan sebagai tempat tinggal sementara.
Perintah eksekutif lain turut mengarahkan AS$50 juta digunakan untuk menukar motel dan hotel menjadi tempat perlindungan supaya gelandangan boleh mengkuarantin diri jika mereka dikesan dijangkiti virus itu.
Newsom berkata, beliau bercakap dengan pentadbiran Trump supaya kapal perubatan tentera laut AS, Mercy, dilabuhkan di pantai California untuk menempatkan pesakit tambahan dan menubuhkan hospital lapangan di negeri ini.
Sementara itu, Datuk Bandar Los Angeles, Eric Garcetti berkata, bandar terbesar di dunia itu memperkenalkan usaha baru mengenal pasti gelandangan yang paling terdedah kepada virus itu, termasuk warga emas dan individu yang sudah sedia mempunyai masalah kesihatan.
Beliau berkata, kira-kira 6,000 gelandangan yang berpotensi dijangkiti koronavirus akan diberikan tempat tidur di pusat rekreasi bandar.
Pesakit yang disyaki dijangkiti virus akan diasingkan dalam treler kecemasan, langkah yang diambil dengan menggunakan dana negeri yang disediakan.