50,000 penduduk Taman Medan ulangi sokong PJD Link

Gabungan Persatuan Penduduk Taman Medan berkata kesesakan di sepanjang jalan seperti Jalan Templer dan Jalan Gasing diburukkan lagi dengan pembangunan komersial dan kenderaan berat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Hampir 50,000 penduduk Taman Medan menyatakan sokongan mereka terhadap pelaksanaan Lebuh Raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link)

Gabungan Persatuan Penduduk Taman Medan dalam kenyataannya berkata, projek itu penting untuk masyarakat setempat.

“Projek PJD Link yang diuar-uarkan beberapa tahun lepas, memberi harapan kepada penduduk Taman Medan, di mana projek ini dijangka dapat menyelesaikan isu kesesakan di Taman Medan dengan menyuraikan trafik, menaik taraf jalan raya serta infrastruktur di kawasan sekeliling.

“Penambahbaikan ini secara langsung dapat meningkatkan kualiti kehidupan penduduk di Taman Medan,” kata gabungan itu.

Katanya, masalah kesesakan menjejaskan aktiviti harian mereka terutama perjalanan ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah selain diburukkan lagi dengan kehadiran ramai pengguna menggunakan jalan tempatan dari Jalan Klang Lama menghala ke Puchong dan Lebuhraya Kesas.

Kesesakan dikatakan berlaku di jalan menghala ke Petaling Jaya seperti Jalan Templer dan Jalan Gasing, selain pembangunan komersial dan kenderaan berat yang menyebabkan keadaan lebih buruk.

Gabungan itu berkata, projek terbabit perlu dikekalkan pada jajaran asal untuk memberi manfaat maksimum kepada penduduk atau kesesakan akan berterusan jika jajaran dialihkan luar daripada kawasan Petaling Jaya.

“Dengan memudahkan pengangkutan dan kebolehcapaian yang lebih lancar, projek ini berpotensi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, menambah peluang pekerjaan dan meningkatkan kemakmuran Taman Medan.

“Oleh itu, kami menggesa kerajaan Selangor dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mempercepatkan kelulusan dan pelaksanaan projek PJD Link,” katanya.

Pada 24 Feb, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari meminta pemaju lebuh raya yang dicadangkan untuk merundingkan semula jajarannya dengan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata, selepas PRN Ogos 2023, pentadbirannya menerima laporan penilaian impak sosial daripada PJD Link (M) Sdn Bhd yang mendedahkan penduduk Taman Medan dan Kinrara menyokong lebuh raya itu, tetapi penduduk di kawasan lain menolaknya.

Stay current – Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Amirudin berkata, jika perubahan dibuat pada jajaran, pemaju perlu bermula dari awal termasuk berunding semula dengan Putrajaya.

Source link

kesesakanpendudukpetaling jayaPJD Linktaman-medantempatantop-bm
Comments (0)
Add Comment