PETALING JAYA: Lima individu termasuk suami isteri dipenjara sehari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth selepas mengaku bersalah menggunakan sijil cuti sakit (MC) palsu dari sebuah hospital kerajaan, empat tahun lalu.
D Carolina dan suaminya, T D Vasudevan masing-masing berusia 28 tahun serta tiga yang lain, G Mukuntan, 28, M Harrvinthan, 27, dan R Gobinath, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah, menurut Berita Harian.
Mahkamah turut memerintahkan mereka dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan curang menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu sijil cuti sakit yang ketika itu diketahui palsu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat mereka bekerja di sekitar Georgetown dan Bayan Lepas antara 24 Jan hingga 6 Okt2020.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkifli mengendalikan pendakwaan manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap semua tertuduh sebagai bentuk pengajaran memandangkan ia adalah kesalahan serius.
Bagaimanapun, semua tertuduh yang merayu hukuman ringan menyatakan mereka sudah insaf dan tidak mengulangi perbuatan itu.
Source link