5 ditahan berkait kekecohan antara penyokong NSFC, JDT

Berlaku kekecohan antara penyokong NSFC dan JDT selepas perlawanan Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan Jumaat lepas. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Polis menahan lima lelaki disyaki terlibat dalam kejadian kekecohan antara penyokong Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas perlawanan Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Seremban Mohd Rosli Ishak berkata, tiga suspek berusia antara 17 hingga 21 tahun ditahan ketika kejadian di depan sebuah hotel berdekatan Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi manakala dua lagi berusia 18 dan 20 tahun ditahan semalam.

“Kelima-lima lelaki itu dipercayai penyokong NSFC dan polis turut mengenal pasti beberapa individu lain disyaki terlibat dalam insiden tersebut dan sedang berusaha mengesan serta menangkap individu yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Rosli berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 148 atau Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh di tempat awam atau melakukan khianat.

Susulan video kejadian itu yang tular di media sosial, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan melangkaui undang-undang atau membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran masyarakat.

Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu diminta menghubungi IPD Seremban di talian 06-6033 222 atau Pegawai Penyiasat Muhammad Ikhmal Helmi di talian 013-4519 829.

Source link

jdtkecohliga supermerusuh di tempat awamNSFCpenyokongperlawanan bola sepakpolis tahanStadium Paroi
Comments (0)
Add Comment