5 Ahli Parlimen Bersatu sokong Anwar hadir ke Parlimen

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang terlucut keahliannya hadir ke Parlimen hari ini, (dari kiri) Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Dr Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Zahari Kechik dan Suhaili Abdul Rahman. (Gambar Jabatan Penerangan)

KUALA LUMPUR: Lima daripada enam Ahli Parlimen Bersatu yang terlucut keahliannya hadir ke sidang Parlimen hari ini dan duduk di blok pembangkang, kata wakil rakyat Labuan Suhaili Abdul Rahman.

Suhaili berkata selain beliau turut hadir ke persidangan itu Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) tidak kelihatan.

Menurut Suhaili, setakat ini Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul belum membuat keputusan mengenai kedudukan mereka sama ada perlu mengosongkan kerusi atau kekal menjadi Ahli Parlimen.

“Memang pun masih di blok pembangkang selagi Speaker tak buat apa apa keputusan, kami masih di blok (pembangkang) ini,” katanya kepada FMT.

Difahamkan, mereka masih dikekalkan di bahagian belakang blok E, iaitu sama dengan kedudukan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Minggu lalu, Ketua Whip Bersatu Ronald Kiandee yang juga naib presiden parti itu menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi terbabit kepada pejabat speaker Dewan Rakyat.

Menurutnya, mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan tiga, speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam tempoh 21 hari selepas notis diterima.

Azizi, Zahari, Syed Hussin, Zulkafperi dan Iskandar terlucut keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia selain terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Keahlian Suhaili pula terhenti kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Dis tahun lalu.

Minggu lalu, Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah mengisytiharkan kerusi DUN Nenggiri kosong dan Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat Jumaat ini untuk membincangkan pelaksanaan PRK di kawasan itu.

Nasib Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari yang menyokong pentadbiran Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pula belum diketahui sehingga kini.

Ketua Pembangkang Azmin Ali telah menyerahkan notis pengosongan kerusi itu, Jumaat lalu kepada Speaker DUN Selangor Lau Weng San.

Source link

bersatuenam penentang BersatuJohari Abdulkerusi kosongparlimenPRK
Comments (0)
Add Comment