KUCHING: Fasa pertama pelaksanaan projek pembangunan semula sekolah daif menggunakan peruntukan khas berjumlah RM1 bilion melalui rundingan di antara kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan sebelum ini, berjalan lancar dengan 41 buah sekolah sudah dalam pembinaan.
Menteri Kanan Infrastruktur yang juga Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof hari ini berkata, kerajaan Sarawak sudah pun membayar RM700 juta daripada hutangnya kepada kerajaan persekutuan, dengan RM350 juta daripada jumlah itu dikhaskan untuk fasa pertama projek pembinaan sekolah daif.
“Sebanyak 52 sekolah lagi disenaraikan dalam fasa kedua dengan peruntukan RM350 juta juga. Ia sekarang dalam proses pra-tender dan untuk fasa ketiga pula sedang dimuktamadkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berhubung perkara itu di sini.
JKR Sarawak merupakan agensi pelaksana yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan bagi projek berkenaan, manakala JKR Malaysia menjadi pemantau kepada projek ini.
Beliau berkata, selain peruntukan khas itu, Sarawak turut menerima peruntukan pembangunan daripada kerajaan persekutuan untuk menangani isu sekolah daif di negeri ini.
Fadillah berkata, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM93.3 juta peruntukan pembangunan tahun 2017 untuk pembinaan semula bangunan 30 buah sekolah daif di Sarawak dan RM416.6 juta untuk tahun berikutnya melibatkan 116 buah sekolah yang kesemuanya telah disiapkan.
“Bagi 2019 pula, sebanyak 32 sekolah (diluluskan untuk pembinaan semula) dengan peruntukan RM100 juta, dan 18 sekolah sudah siap, 12 buah dalam pembinaan dan 2 buah lagi dalam proses tender.
“Untuk tahun 2020, Sarawak tidak ada (menerima) peruntukan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.
Menurutnya jumlah sekolah yang diluluskan di Sarawak itu adalah sebahagian daripada 62 buah sekolah yang diluluskan untuk pembinaan semula di seluruh negara pada tahun 2019.
Di semenanjung, 7 sekolah telah disiapkan dengan sebuah masih dalam pembinaan, sementara di Sabah, 3 sekolah sedang dalam pembinaan dan 19 buah masih di peringkat penilaian tender.
“Bagi tahun 2020, sebanyak 22 projek disenaraikan di semenanjung Malaysia dengan peruntukan RM6.6 juta dan 65 projek di Sabah dengan peruntukan RM266.5 juta,” katanya.