Ketua Polis Nilai Abdul Malik Hasim berkata semua mangsa cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban untuk rawatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Empat lelaki cedera ditetak sekumpulan individu bertopeng menggunakan parang di sebuah restoran di Nilai malam tadi.
Lima lelaki bertopeng disyaki warga tempatan dirakam menaiki sebuah kenderaan, sebelum berhenti dan meluru ke arah empat lelaki sedang minum pada 9.40 malam.
Ketua Polis Nilai, Abdul Malik Hasim, berkata semua mangsa cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban untuk rawatan.
“Kami dimaklumkan orang awam yang mengatakan empat lelaki tempatan berusia 44 tahun hingga 59 tahun diserang. Ia dilakukan sekumpulan lelaki ketika mangsa berada di sebuah kedai makan,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, keadaan mangsa kini stabil dan motif serangan masih dalam siasatan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.
Beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Nilai di talian 06-7902222.
Source link