Jakim berkata orang ramai boleh menyemak status halal di Portal Halal Malaysia. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan hanya empat cawangan Ayam Penyet Best mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah.
Dalam satu kenyataan, Bahagian Hab Halal Jakim berkata premis Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw adalah bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.
Jakim berkata satu surat yang dikeluarkan jabatan itu dan tular di media sosial adalah bagi menjawab pertanyaan mengenai status halal beberapa premis makanan.
“Pertanyaan tersebut diajukan melalui melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Jakim.
“Justeru, maklum balas yang disediakan oleh jabatan ini telah dijana melalui SISPAA,” katanya.
Katanya, berdasarkan semakan semula melalui Portal Halal Malaysia mendapati empat cawangan Ayam Penyet Best mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah.
“Jabatan ini mengemukakan semula makluman kepada individu yang bertanya melalui emel pada 2 Sept iaitu hari yang sama maklum balas atas pertanyaan yang diajukan,” katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mahu menyemak status halal bagi mana-mana premis atau produk boleh dibuat menerusi Portal Halal Malaysia.
Source link