GEORGE TOWN: Sebilangan pelajar dan kakitangan sebuah sekolah teknik di Jelutong mengalami keracunan makanan pada hujung minggu lepas selepas makan ayam tandoori goreng yang dihidangkan di kantin asramanya, menurut Jabatan Kesihatan Pulau Pinang.
Jabatan itu berkata, seramai 496 pelajar dan dua warden di SMK Teknik Tunku Abdul Rahman Putra jatuh sakit selepas makan tengah hari di kantin tersebut pada Jumaat lepas.
Seramai 30 pelajar yang mengalami gejala keracunan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan Klinik Kesihatan Penaga, tambahnya.
“Kesemua kes stabil dan tiada kemasukan ke wad,” katanya dalam kenyataan.
“Kejadian keracunan makanan ini terkawal dan tiada kes baharu dilaporkan.”
Sementara itu, jabatan itu berkata, siasatan masih diteruskan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut untuk mengenal pasti punca kejadian.
Dapur kantin asrama tersebut juga telah ditutup bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, tambahnya.
“Sampel makanan, sampel pengendali serta sampel persekitaran telah diambil untuk tujuan analisis di makmal dan masih menunggu keputusan analisis,” katanya.