PETALING JAYA: Seorang bapa, anak lelaki serta rakan anaknya didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan merogol anak tiri berusia 12 tahun dalam kejadian di Bachok, awal tahun ini dan Mei lalu.
Tertuduh masing-masing berusia 46 tahun dan 22 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah, menurut Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh pertama berusia 46 tahun didakwa merogol anak tiri berusia 12 tahun tanpa kerelaannya yang mana hubungan tertuduh dengan mangsa tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama dan mempunyai hubungan amanah dengan mangsa.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Bachok pada waktu petang awal tahun ini dan pertengahan 18 Mei hingga 22 Mei tahun ini.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh kedua dan ketiga pula didakwa merogol seorang kanak-kanak berusia 12 tahun tanpa kerelaannya di mana perbuatan itu dibuat di hadapan orang lain, di lokasi sama awal tahun ini.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh pertama serta kedua diwakili peguam Nur Sarah Syamimi Safie dan tertuduh ketiga diwakili peguam Zuhaidie Akmal Hasan Basri.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh memandangkan kes terbabit adalah serius dan mangsa baru berusia 12 tahun.
Nur Sarah Syamimi dan Zuhaidie pula memohon jaminan ditawarkan memandangkan itu kes jenayah pertama anak guam mereka selain berjanji tidak akan mengganggu mangsa.
Mahkamah memutuskan untuk tidak membenarkan tertuduh pertama dan kedua diikat jamin manakala tertuduh ketiga dibenarkan diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 11 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes.
Source link