185 kanak-kanak terkait GISBH di Selangor diserah kepada keluarga

0

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata JKM boleh melaksanakan tindakan untuk mengambil semula kanak-kanak itu sekiranya penjaga mereka melanggar bon atau syarat ditetapkan. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Seramai 185 kanak-kanak yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) diserahkan kepada keluarga dengan bon berserta syarat oleh pihak mahkamah.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata bon yang dikenakan adalah seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 30(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, iaitu bon tanpa cagaran.

Beliau berkata syarat-syarat tambahan di bawah subseksyen 30(8) di bawah akta yang sama, iaitu ibu bapa atau penjaga hendaklah memaklumkan kepada pelindung (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sekiranya ingin bertukar alamat ataupun tempat tinggal.

“Ibu bapa atau penjaga hendaklah memastikan sebarang perbuatan berunsur penganiayaan, penderaan dan pengabaian tidak akan berlaku terhadap kanak-kanak ini serta mereka hendaklah memastikan kanak-kanak ini mendapat pendidikan atau persekolahan formal yang sewajarnya.

“Ibu bapa atau penjaga tidak boleh memindahkan hak penjagaan kanak-kanak kepada orang lain atau meletakkan kanak-kanak di suatu pusat tanpa pengetahuan pelindung dan kebenaran mahkamah,” katanya di Dun Selangor.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku) tentang bilangan kanak-kanak terkait GISBH yang telah dilepaskan dengan bon kepada penjaga.

Anfaal berkata ibu bapa atau penjaga hendaklah memastikan segala keperluan dan kebajikan kanak-kanak terjaga serta terjamin dan mereka perlu hadir bersama kanak-kanak ke pejabat JKM berhampiran, tiga bulan sekali bagi tujuan pengawasan serta penyeliaan sepanjang perintah itu berkuat kuasa.

“Ibu bapa atau penjaga juga hendaklah hadir bersama kanak-kanak untuk mengikuti apa-apa program atau aktiviti yang ditetapkan oleh JKM atau mana-mana agensi kerajaan berkaitan sepanjang perintah ini berkuat kuasa.

“Kanak-kanak ini tidak boleh dijadikan kandungan dalam media sosial atau mana-mana platform media,” katanya dan menambah pelindung pada bila-bila masa berhak hadir serta melawat mereka di alamat tempat tinggal.

Anfaal berkata terdapat empat kriteria kesesuaian penjaga yang membolehkan pelepasan kanak-kanak, iaitu ketersediaan sosial keluarga menerima kanak-kanak dan kesesuaian persekitaran tempat tinggal.

“Selain itu, ketersediaan ekonomi keluarga dan dapat memenuhi keperluan persekolahan anak-anak turut menjadi kriteria,” katanya.

Dalam pada itu, Anfaal berkata JKM boleh melaksanakan tindakan untuk mengambil semula kanak-kanak itu sekiranya berlakunya tindakan melanggar bon.

Source link

Leave A Reply
Bitcoin (BTC) RM414,728.47
Ethereum (ETH) RM7,882.62
Tether (USDT) RM4.36
BNB (BNB) RM2,633.11
USDC (USDC) RM4.36
XRP (XRP) RM9.82
BUSD (BUSD) RM4.34
Cardano (ADA) RM3.06
Solana (SOL) RM642.71
Dogecoin (DOGE) RM0.768009
Polkadot (DOT) RM18.11
Polygon (MATIC) RM1.03
Lido Staked Ether (STETH) RM7,872.19
Shiba Inu (SHIB) RM0.000059
Dai (DAI) RM4.36
TRON (TRX) RM1.06
Avalanche (AVAX) RM94.98