PETALING JAYA: Seramai 18 lagi individu dikenal pasti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dirakam keterangan dalam siasatan berterusan ke atas kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata 39 individu sudah dirakam keterangan setakat ini berhubung kes itu dengan kod nama Op Sky.
“Seramai 18 individu yang sudah dikenal pasti ini akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan,” katanya menurut Bernama.
Agensi antirasuah itu membuka siasatan susulan aduan berhubung rasuah membabitkan pegawai institusi perbankan didakwa memudah dan meluluskan permohonan pinjaman peribadi untuk sebuah syarikat perunding kewangan.
Azam berkata, pihaknya memerlukan lebih banyak masa untuk melengkapkan siasatan.
Menurutnya, SPRM sedang bekerjasama dengan beberapa bank bagi mendapatkan dokumen berkaitan pinjaman diambil pelanggan dikenal pasti.
Khamis lalu, SPRM merakam keterangan tiga selebriti dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan itu yang disyaki menerima bayaran hingga RM400,000 dalam tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta jenama bagi tujuan promosi.
Bulan lalu, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara (BNM) menahan 12 individu dalam serbuan di 24 lokasi termasuk, kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang.
Setakat ini, 27 individu ditahan, termasuk pegawai bank dan petugas syarikat perunding kewangan terbabit dalam sindiket penipuan pinjaman. Semuanya sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Dalam operasi itu, SPRM merampas kira-kira 4,000 dokumen dan membekukan 98 akaun bank membabitkan lebih RM17 juta.
Source link