Ketua Pengarah JBPM Nor Hisham Mohammad berkata tekanan gas di saluran paip terbakar ialah 8% setakat 1.30 tengah hari tadi berbanding 50% pagi tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Seramai 112 mangsa dan 49 rumah terjejas dalam kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Mohd Zaini Abu Hassan, berkata 112 mangsa cedera itu merupakan penduduk Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baharu.
“Daripada 112 mangsa itu, 63 orang dihantar ke Hospital Cyberjaya, Serdang dan Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut akibat melecur, masalah pernafasan serta luka.
“Baki 49 mangsa menerima rawatan awal di Kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya,” katanya dalam sidang media di Pusat Operasi Khas Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta polis di sini.
Beliau berkata, dua pusat pemindahan sementara dibuka di Masjid Nurul Iman dan Masjid Putra Heights bagi menempatkan mangsa terjejas.
Menurutnya, tiada kematian dilaporkan setakat ini dan siasatan masih dijalankan.
Ketua Pengarah JBPM, Nor Hisham Mohammad, berkata pihak Petronas menutup empat injap utama saluran paip gas di Dengkil, Puchong, Batu Tiga dan Meru bagi melepaskan saki-baki gas asli mulai 8.46 pagi tadi.
Beliau berkata, pihak Petronas menjangkakan empat jam diperlukan bagi semua gas asli dilepaskan, api berkurangan dan seterusnya dipadamkan.
Menurutnya, jarak injap pertama dan keempat sejauh 32km, dengan injap terakhir ditutup 11.48 pagi tadi.
“Pihak bomba tidak mengalami masalah kekurangan air dalam operasi ini, tetapi memberi tumpuan pelepasan gas supaya kebakaran akan terpadam dengan sendirinya.”
Setakat 1.30 tengah hari tadi, katanya, tekanan gas di saluran paip terbakar ialah 8% berbanding 50% pagi tadi.
Beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai ahli keluarga di lokasi kejadian tampil memberi maklumat bagi memudahkan proses pemindahan.
“Kita akan mulakan pusingan kedua, iaitu memantau mangsa yang mungkin terperangkap dalam rumah dan elemen plastik serta karbon terbakar susulan kejadian itu bagi memudahkan pasukan masuk memadam kebakaran, sekiranya ada.”
Source link