Imigresen menahan warga asing itu dalam serbuan enam premis di Jalan Tun Tan Siew Sin, dua di Leboh Pudu dan satu di Jalan Silang, Kuala Lumpur. (Gambar JIM)
PETALING JAYA: Sepuluh ‘doktor’ warga Bangladesh ditahan dalam serbuan di 10 klinik disyaki beroperasi secara haram sejak setahun lalu di sekitar ibu negara, semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata operasi bersama Kementerian Kesihatan (KKM) membabitkan enam premis di Jalan Tun Tan Siew Sin, dua di Leboh Pudu dan satu di Jalan Silang.
“Berdasarkan aduan awam dan maklumat risikan dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi premis perniagaan dan berjaya menahan 10 orang lelaki warga Bangladesh berusia antara 31 hingga 50 tahun.
“Semakan awal mendapati seorang yang ditahan memiliki pas lawatan kerja sementara (PLKS) sektor perkhidmatan, enam memiliki PLKS sektor pembinaan, dua orang tinggal lebih masa, manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pasukan operasi merampas peralatan doktor palsu, ubat-ubatan dan wang tunai RM800 dipercayai hasil rawatan dan jualan ubat.
“KKM juga merampas sebanyak 502 jenis ubat tidak berdaftar dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM265,192.00,” katanya.
Menurutnya, warga asing itu ditahan mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952, Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Racun (Bahan bahan Psikotropik) 1989, dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Mereka juga ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Zakaria berkata, modus operandi digunakan adalah menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit melalui doktor warga Bangladesh yang tidak bertauliah dengan menyasar warga negara terbabit.
“Ubat-ubatan yang dijual tidak berdaftar dan tiada kelulusan KKM yang dibawa masuk oleh warga Bangladesh yang datang sebagai pelancong dengan bayaran sebanyak RM200 hingga RM500 setiap seorang.
“Kegiatan ini berselindung di sebalik kedai makan atau kedai runcit bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Bayaran rawatan dan penjualan ubat-ubatan yang dikenakan adalah sebanyak RM50 hingga RM200 bagi setiap pelanggan,” katanya.
Source link
Next Post